Rabu, 24 Oktober 2007

Lepas Raya 2

Assalamualaikum dan selamat hari raya semua.

terlebih dulu, mintak maaflah ciplak tajuk azah, tapi akak tak pandai nak bersajak-majak. Akak tau menulis karangan je...Apa-apapun tabiklah kat azah yang berjaya mencipta sajak yang sangat bermakna tu....Semuanya betul, tidak ada yang tidak betul melainkan betul belaka apa yang disampaikan dalam sajak tu.

Akak dah lama nak buka blog ni, nak jadi orang pertama tapi server asyik down je, rindu kat blog ni tak terkira rasanya... baik ari ni dapat, dapatlah chek melahirkan kerinduan chek di sini..

Rindu bukan sebarang rindu nih, rindu bebeno kat kengkawang , Angah, Azah, Jah,Usop Sari, Hanif, Jef, Husna dan Pak lah serta keluarga masing-masinglah, bila dapat jumpa agaknya, bukan ape, maklum seperti kata azah, lepas raya ni bukan setakat kuih raya je tinggal serdak, duit pun tinggal sen merah je. Jadi kalu dapat jumpa kengkawang, dapatlah mintak duit raya buat menampung belanja sehingga 25 November nanti.....Alahai teruk beno ke akak nih? Setakat ni dah gi jumpa eda tapi tak adanya dia nak bagi duit raya kat akak...kesian akak kan?

Usop dan Mie, dah beres semua persiapan? Mudahan semuanya berjalan lancar dan diberi kesihatan yang sempurna untuk menjalani ibadah haji di sana nanti. Bertuah awak orang, terpilih menjadi tetamu Allah. Semoga balasannya haji mabrur.....

okay, sekian dulu buat kali ini, sehingga berjumpa lagi, salam aidil fitri....

Sabtu, 20 Oktober 2007

SELAMAT KEMBALI BERTUGAS

Salam buat semua kekawan.Alhamdulillah Aidilfitri yang menyeronokkan sebabnya selamat sampai kampung dan selamat tiba di rumah. Agenda biasa. Bermaaf-maafan dan ziarah menziarahi. Kalau nak rasa ketupat rendang jomlah bertandang ke rumah saya,amacam Pak Lah dan famili?Bila nak mai rumah saya?Tak payah tunggu open house. Rumah saya sentiasa sedia terima kunjungan tetamu dekat dan jauh. CTKT, kita serupalah. Kalu dah makan gaji dengan gomen gitulah gamaknya. Kena jimat cermat. saya ala kadar aja membuat persiapan. Serba-serbi recycle langsir lama, perabot lama, hanya beli sikit kuih tunjuk, kalu nak makan kerepek ubi adalah. Jah dan Hanif bila nak mai Kajang? Apapun teruskan aktiviti dirancang termasuklah mengimarahkan Syawal. Chop Mat bila nak berangkat ke Mekah? Moga selamat sampai dan dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Jumpa lagi. wassallam.

Rabu, 17 Oktober 2007

lepas raya

orang pertama masuk blog lepas raya
sambung puasa sunat syawal lepas raya
tempat kerja masih sunyi walaupun dah 5 hari lepas raya
tapi jalan raya dan jambatan masih jem gila lepas raya
yang nak balik dari kampung hati-hati di jalanraya lepas raya
pandu cermat pasti selamat lepas raya
anak-anak jgn lupa bagi duit raya bagi pada emak ayah lepas raya
boleh emak ayah buat belanja lepas raya
kuih baulu dan kerepek (sari! ada lagi ka kerepek)laku lepas raya
sambil tengah menghitung hari gaji tunggu gaji lepas raya (lambat lagi )
itu la namanya lepas raya.
Apa-apa pun kepada kepada Usop dan keluarga, Nani dan keluarga, Eda dan keluarga, Sari dan keluarga, Pak Lah dan keluarga, Hanif dan keluarga, Jah dan keluarga, Angah dan keluarga, Jeff dan keluarga, semoga semuanya sihat lepas raya.

Salam lepas raya

Khamis, 11 Oktober 2007

Selasa, 9 Oktober 2007

Salam Aidil Fitri




Kami,
RUSNANI BINTI JUSOH,
MOHAMAD IMRAN BIN HASSAN
ABDULLAH DANIAL,
ABDULLAH IMAN
MARYAM NABILAH,
ABDUL 'AZIM UMAR
KHADIJAH ANIS 'AFIFAH
AISYAH NADHIRAH

menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf daripada semua ahli cg dan keluarga sempena lebaran yang mulia ini. Jemputlah datang berhari raya ke rumah kami di Terengganu. Sekian, SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Isnin, 8 Oktober 2007

Salam Aidil Fitri

Maaf zahir dan batin

Jumaat, 5 Oktober 2007

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI

Salam buat semua. Selamat hari lahir ke 42 buat Jah, Nani dan bakal menyusul Pak Lah n Jef November nanti. Juga harap dan doa umur bertambah perjalanan hidup semakin diredhai Allah. Apapun umur hanya angka tapi tetap awet mudakan?Persiapan raya biasa aja. Buat anak-anak yang penting.Kuih tunjuk sana sini sinun. Sedia RM aja. Tahun depan kena buat. Ni masih lagi dok menjahit baju sendiri. Tukang jahit gitulah kalu tak malam raya baru siap baju sendiri.Harap kiriman kerepek dan kad buat Nani akan diterima Ahad ni.Buat gudap-gudapan lepas berbuka puasa.Kami akan balik Johor khamis ini. Raya rumah mentua di Kluang dulu tapi on the way singgah Taman Ledang, Sagil rumah ayah bonda.Boleh buka puasa dan sahur. Rest house banyak.Doakankan kami selamat dalam perjalanan. Lagu balik kampung dah menggamit kami pulang. Tak boleh tahan wo! Mesti Nani jelous ni.Buat Cop Mat Raya, moga tabah dengan segala ujianNya. Hang insan terpilih untuk diuji dan diduga. Banyakkan sabar dan doa.Kalu dekat boleh gak tolong tengok sama.Buat Jef dan Husna sekeluarga, jangan sedih pada pagi raya terkenang Amal yang jauh di mata.Angah, CTKT @ Azah, Eda, Pak Lah, Hanif, Cop Mat., Nani,Jef selamat hari raya maaf zahir dan batin.

Selasa, 2 Oktober 2007

Ujian demi Ujian

Asalamualaikum

Lama juga tak jenguk blog nii
Ada musibah melanda, untuk menguji hamba-Nya...
Kak Mie sakit dan dirawat di hospital...
So kena urus anak-anak...
Lagi ujian...datang, bibik berhenti dan balik kampung...woww kelam kabut ler
Semuanya mendewasakan kami anak beranak. Doakan semua selamat.

Kepada putera puteri PMR, selamat menempuhnya....Mak bapak tak perlulah risau sangat, risau sikit2 jer lah.
Selamat Puasa dan HAri Raya
Maaf zahir batin

Wasalam
MY dan keluarga

Isnin, 1 Oktober 2007

PMR Datang Lagi...

Assalamualaikum semua,

Apa kahabar semua? Mudahan sihat dan menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Ambo, masing-masing mentang berpuasa, semuanya tak jenguk blog, mungkin masa-masa yang terluang diisi dengan tadarus Al-Quran. Alhamdulillah....

Hari ni, birthday akak yang ke 42 tau, dah tua dah akak ye. Hari ni jugak first day PMR. Akak tengah berdebar ni, anak yang sulung sedang berperang dengan kertas BM ni. Akak tau, Angah, Jah, Hanif dan Pak Lah (kalau tak silap) pun sama-sama sedang berdebar macam akak jugak kan. Jadi marilah kita semua sama-sama memohon ke Hadrat Allah agar diberi ketenangan akal fikiran kepada mereka semua dan di berkati Allah segala usaha mereka seterusnya mendapat kejayaan cemerlang di dalam PMR mereka nanti. Akak rasa , Jah mungkin sama berdebarnya dengan akan sebab anak kami anak sulong, kejayaan abang akan jadi perangsang kepada adik-adik, tu yang nak sangat abang berjaya...mudahan adik-adik akan terbakar semangat mereka untuk mencipta kejayaan seperti abang mereka. Angah dah ada pendorong, anak-anak pulak kat Seri Puteri, rasanya straight a's tak menjadi masalah.

Mak-mak semua mesti sibuk dah buat biskut raya dan segala persiapan agaknya, paling tidak kuih yang 'ditunjuk' tu mungkin mula diterima. Akak simple je tahun ni, mak (mak mertua) tak ada, raya kat Mekah, jadi kemeriahan rasa tak ada bagi kami tahun ni..Tu yang tak buat persiapan apa-apa pun...

Okay, akak berundur dulu...Selamat Berpuasa, mudahan dikurniakan Lailatul Qadar..

Ahad, 16 September 2007

LAILATUL-QADR : GANJARAN KEPADA MUJAHID NAFSU

Alhamdulillah Allah telah memberi peluang kepada kita menikmati Ramadhan tahun ini, bulan keampunan, bulan rahmat dan bulan pelepasan dari neraka. Peluang hanya datang setahun sekali; tahun depan kita belum pasti bertemu Ramadhan lagi. Sayugianya kita mengambil kesempatan dan peluang yang terbuka luas ini bagi merebut tawaran maha hebat yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana agensi dan syarikat pasaraya di dunia ini..

Nabi Muhammad saw sekembalinya dari satu peperangan, memberitau para sahabatnya bahawa mereka baru kembali dari satu peperangan yang kecil dan sedang menuju ke satu peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Para sahabat menjadi bingung dan tertanya-tanya adakah peperangan yang lebih hebat daripada itu. Nabi menjelaskan peperangan yang dimaksudkan yang lebih dahsyat ialah berperang degan hawa nafsu.

Berperang dengan nafsu dikatakan jihad yang lebih besar daripada peperangan dengan senjata yang boleh meragut nyawa sendiri. Bagi kebanyakan kita, perkara yang paling kita takuti ialah peperangan dengan senjata kerana kita tahu ia boleh merampas jiwa kita, anak dan keluarga serta apa-apa yang kita sayangi. Kita akan berpisah dengan dunia dan kemanisannya. Rupa-rupanya apa yang kita takuti selama ini bukanlah satu yang benar-benar harus ditakuti. Yang paling ditakuti menurut Islam ialah nafsu yang ada dalam diri kita. Dialah musuh yang paling nyata yang berada bukan di luar diri kita tetapi menjadi sebahagian daripada kita. Dia benar-benar 'musuh dalam selimut' yang boleh merosakkan diri kita bahkan lebih dahsyat menjerumuskan kita ke dalam neraka yang mana azab dan sengsaranya berkekalan dan tidak dapat digambarkan hebatnya penderitaan oleh mana-mana media di dunia ini.

Diri kita bolehlah dianggap sebagai sebuah kerajaan yang mana otak merupakan pemerintah, hati menjadi penasihat menteri atau barisan penyokong kerajaan sementara nafsu bertindak sebagai puak pembangkang yang sangat mahir berdiplomasi dan berpura-pura. Dalam menjalankan mesyuarat kabinet, perdana menteri mesti pandai membuat keputusan demi kesejahteraan negara. Beliau mesti berwibawa serta mampu mengenalpasti atau membezakan mana satu cadangan yang konstruktif dan destruktif. Peranan pembangkang perlu diawasi supaya tidak merosakkan negara keseluruhannya. Dalam usaha mempengaruhi perdana menteri supaya mengikut telunjuknya, barisan pembangkang yang diwakili oleh nafsu menjalankan pelbagai strategi kotor melalui amalan rasuah (wang dan perempuan yang sesuai dengan nafsu) dan ugutan. Jika tidak dapat dengan cara kekerasan, ia menukar taktik dengan cara berlembut. Hanya perdana menteri yang bijak saja selamat dari dakyah dan umpan beracun ini.

Dalam hubungan ini, puasa merupakan satu cara untuk menundukkan nafsu. Bagi kita, perosak terbesar ialah nafsu perut. Disebabkan nafsu inilah datuk dan nenek kita Adam dan Hawa terusir dari negara abadi ke negara yang hina dan miskin ini. Mereka dilarang dari memakan buah khuldi tetapi malang berjaya dikalahkan oleh nafsu perut mereka lalu khuldi dimakan dan sekaligus tersingkap aurat kemaluannya. Terbukti dengan menurut nafsu perut membangkitkan nafsu-nafsu lain seperti nafsu kelamin yang dahsyat dan keras dorongannya. Kemudian diikuti dengan nafsu mencari harta, nafsu mencari pangkat, nafsu mencari kekayaan dan kesemuanya ini menimbulkan pelbagai gejala penyakit lain seperti dengki, hasad, iri hati, permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain. Akhirnya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai arus dan trend maksiat, kejahatan dan kemungkaran. Pucuk pangkal dari semua ini ialah menurut nafsu perut.

Setiap penyakit ada ubat. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya sekali. Ubat bagi penyakit nafsu ialah berpuasa. Kenapa puasa dianggap sebagai ubat/resipe memerangi godaan nafsu? Jawapannya terkandung dalam hadith Nabi saw:

"Perangilah nafsumu dengan lapar dan dahaga kerana pahala yang demikian menyamai pahala orang yang berperang di jalan Allah."

Berpuasa menyempitkan tempat laluan Iblis. Oleh itu memudahkan diri kita untuk tunduk kepada perintah Allah. Pada masa yang sama tidak mengikut jalan nafsu dan kedurhakaan serta tidak terikut-ikut dengan budaya kemewahan dan mengutamakan dunia dari akhirat.

Dalam satu riwayat ada menceritakan 'orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang lama berlapar dan sentiasa merenung kebesaran Allah swt.' Pada riwayat lain, Nabi Muhammad saw bersabda "Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila Aisyah bertanya bagaimana, Nabi menerangkan dengan lapar dan dahaga."

Nabi juga ada bersabda "manusia yang paling lama menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling lama kenyangnya di dunia."

Baginda Rasulullah saw sendiri belum pernah merasakan kekenyangan malahan pernah tidak merasakan sebarang makanan selama berhari-hari sehinggalah baginda wafat. Di antara kebaikan daripada berpuasa ialah seperti berikut:

membersihkan hati dan menajam fikiran
memperhalus jiwa dan rohani sehingga terasa lazat beribadat
menghilangkan rasa sombong diri
merasa dan ingat akan ujian dan cobaan Allah
merobohkan kubu pertahanan nafsu
mengurangkan rasa ngantuk dan tidur supaya berpeluang beribadat kepada Allah
membuka peluang seluasnya untuk ibadat
menyihatkan badan dan sistem jasmani
menolak pelbagai penyakit berpunca dari banyak makan
mengurangkan perbelanjaan untuk makan
membaiki hati dan bersimpati orang miskin dengan sedekah
Nah! sekarang kita berada di penghujung Ramadhan - bulan taubat, bulan berkat, bulan keampunan, bulan jihad, bulan muhasabah dan bulan pelepasan dari api neraka. Hari ini kita masih berkesempatan berpuasa, elok belum tentu lagi... Jadi gunakan kesempatan ini dengan banyak beribadat dan berjuang melawan nafsu. Nafsu jahat perlulah dibanteras. Nafsu perut jangan diturutkan sangat. Nafsu yang ingin melihat perkara yang haram perlu dilawan. Telinga ingin mendengar hiburan dan nyanyian perlu disekat. Naluri seks yang inginkan kepuasan juga dikekang. Pendekata semua indera dan anggota perlu dipuasakan demi menjaga hak berpuasa. Begitu juga mulut yang ingin berceloteh, mengumpat, berbohong dan mencaci mesti dilawan.
Puasa hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Tujuan berpuasa mestilah jelas supaya adab-adab berpuasa dapat kita jaga dengan baik. Inilah sebenarnya intipati puasa. Kalaulah tidak masakan nabi mengatakan jihad melawan nafsu lebih berat daripada jihad perang fisabilillah; sedangkan peperangan dengan senjata amat berat dan mempunyai risiko yang amat dahsyat. Mengabaikan aspek ini bermakna kita hanya berpuasa mengikut adat atau secara lahiriah saja tanpa menghayati apa yang tersirat dalam ibadat puasa. Nabi Muhammad saw. mengingatkan kita bahawa ramai orang yang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Amat wajar sekali bagi mereka yang benar-benar berjuang melawan nafsu sepanjang Ramadhan diberikan ganjaran Lailatul-Qadr - satu malam yang menyamai 1000 bulan. Amat beruntung dan bertuah bagi mereka yang dapat menghidupkan malam Lailatul-Qadr yang jatuhnya pada salah satu malam di antara 10 terakhir Ramadhan. Barangsiapa yang sudah berjuang melawan nafsu pada hari-hari sebelumnya amat mudah melakukannya. Mereka akan berebut dan menunggu saat-saat yang maha berkat ini. Betapa kiranya jika ada orang menawarkan agar beribadat pada sekian malam dan akan diberi berbillion-billion ringgit malahan kekayaan seorang korporat. Sudah tentu semua manusia turut berjaga malam untuk merebut tawaran ini. Tapi sayang seribu kali sayang tawaran Allah ini dipandang sepi oleh sebahagian besar manusia termasuk diri kita, lantaran kurangnya iman kita terhadap Allah. Masa masih ada bagi kita untuk merenung diri dan mengambil peluang yang Allah berikan pada Ramadhan ini.

Sebagaimana orang yang menyambut Ramadhan dengan hati yang gembira diharamkan jasadnya dari api neraka, begitulah juga keadaannya orang yang sangat berat hatinya meningggalkan Ramadhan. Lantaran itu, ramai di antara orang-orang soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Mereka sedar tidak ada bulan lain yang menyamai Ramadhan. Awal Syawal mereka berhariraya dan hari keduanya diikuti dengan puasa sunat 6 hari. Mengikut Nabi barangsiapa berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. 30 hari + 6 hari = 36 hari. Jika setiap kebajikan dibalas dengan 10, maka 36 x 10 = 360 hari atau 1 tahun.

Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya? Sementara masih ada hari-hari puasa lagi, sama-samalah kita mempertingkatkan nilai puasa kita semoga dapat kita menikmati kelazatan berpuasa dan menghidupkan malam Lailatul-Qadr. Semoga puasa tahun ini benar-benar memberi kesan yang positif terhadap diri kita, amin.

Selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya - merayakan kemenangan kita dalam peperangan dengan nafsu. Janganlah kita berhariraya kerana menyambut kemenangan nafsu atas diri kita ...

Wallahu a'alam..